KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) berperanan mengharmonikan hubungan antara pengikut pelbagai agama di Malaysia, bukannya membincangkan dasar agama Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau menegaskan bahawa jawatankuasa tersebut tidak akan membincangkan sebarang isu berkaitan dasar Islam kerana agama itu berada di bawah bidang kuasa sultan dan kerajaan negeri, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“JK Harmoni langsung tidak membincangkan hal-hal dasar agama Islam kerana ia berada di bawah bidang kuasa sultan dan kerajaan negeri. Jadi, tidak timbul persoalan mengenai perbincangan berkaitan agama Islam dalam jawatankuasa ini,” katanya dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Ekrima Said Sabri, hari ini.
Menurut Mohd Na’im, JK Harmoni dianggotai oleh para ulama serta ketua-ketua agama yang berperanan menjelaskan isu-isu yang berbangkit berkaitan agama serta menggalakkan masyarakat untuk saling menghormati kepercayaan masing-masing.
“Ketua-ketua agama dalam JK Harmoni ini akan mengambil peluang untuk berbincang. Jika timbul salah faham berkaitan sesuatu agama, kita harapkan mereka dapat memainkan peranan dalam memberikan penjelasan dan mengelakkan penghinaan terhadap agama lain,” tambahnya.
Dalam mesyuarat yang diadakan semalam, seramai 25 tokoh agama dilantik sebagai ahli JK Harmoni.
Keanggotaan mereka terdiri daripada 10 wakil agama Islam, empat wakil agama Buddha, empat wakil agama Kristian, dua wakil agama Hindu, satu wakil agama Sikh, dua wakil Tao, satu wakil Bahai, serta seorang wakil dari Unit Hal Ehwal Agama Lain (Unifor), Sarawak.