KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat lebih banyak serbuan terhadap klinik beroperasi secara haram yang menggunakan doktor palsu warga asing di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kegiatan klinik berkenaan kini dalam perhatian Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas 10 daripadanya diserbu kelmarin.
Katanya, operasi khas yang dilaksana JIM akan diteruskan bagi mengesan klinik terbabit bagi membanteras kegiatan yang dilihat membahayakan orang ramai untuk mendapatkan rawatan.
“Akan ada lagi serbuan selepas ini, sebahagian besar (operasi klinik haram) dikesan di Lembah Klang dan beberapa kawasan berdekatan.
“Kita sudah kenal pasti dan tahu lokasi klinik itu beroperasi dan semuanya dalam radar pihak JIM,” katanya, lapor Berita Harian.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, isu ini bermula apabila ada pihak mengambil kesempatan inisiatif kerajaan menggalakkan aktiviti pelancongan perubatan bagi menarik pesakit mendapat rawatan di Malaysia.
Katanya, JIM akan bertindak memastikan setiap permohonan dibuat melalui visa perubatan diteliti bagi mengelak disalah guna pihak terbabit.
Kelmarin, JIM menyerbu 10 premis di ibu kota yang disyaki beroperasi sebagai klinik secara haram sejak setahun lalu dan menahan 10 lelaki warga Bangladesh menyamar sebagai doktor di setiap lokasi terbabit.
Operasi khas bersama Kementerian Kesihatan (KKM) itu dilancarkan di 10 lokasi membabitkan enam premis di Jalan Tun Tan Siew Sin, dua di Leboh Pudu dan satu di Jalan Silang.
Semakan awal mendapati seorang yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Sektor Perkhidmatan, enam memiliki PLKS Sektor Pembinaan, dua tinggal lebih masa dan seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.