KUALA LUMPUR: Hanya ada satu cara sahaja untuk mengekalkan kepimpinan dan kekuatan UMNO dalam kalangan rakyat, terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, iaitu dengan tidak memberi ruang lagi kepada ‘kuda tua’ untuk bertanding.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Nur Jazlan yang merujuk gelaran ‘kuda tua’ itu terhadap golongan veteran di dalam parti.
Ujarnya parti tidak mustahil akan berdepan dengan kejatuhan dalam tempoh 10 tahun sekiranya terus meletakkan pemimpin veteran sebagai calon pilihan raya.
Sehubungan itu golongan tersebut perlu direhatkan dan memberikan peluang kepada orang muda.
Ketua UMNO Bahagian Pulai itu turut mendakwa, terdapat dalam kalangan pemimpin vateran terbabit merosakkan parti dan menimbulkan kekeliruan kepada akar umbi.
Apa yang menyedihkan lagi, kumpulan terbabit turut menjadi jurucakap bagi pihak Bersatu dan Pas selain mempersoalkan keputusan serta ketetapan UMNO.
“Selepas dah puas jadi jurucakap Bersatu, kuda-kuda tua ini sibuk pula nak susun urusan dalam PN (Perikatan Nasional).
“Dia yang lebih-lebih bercakap mahu memperkukuhkan PN dan kerajaan sedangkan dia jadi menteri pun atas kuota UMNO. Memang jenis tak sedar diri.
“Patutnya kalau dah sibuk sangat nak uruskan Bersatu dan PN, eloklah blah cepat join orang sebelah sana. Macam yang MP Puncak Borneo buat, dia terus masuk PBB sebelum RUU Anti Lompat Parti dikuatkuasakan,” kata Jazlan.
Tambahnya, pengundi muda bakal mendominasi citarasa dan pilihan selepas Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15).
Jika UMNO ingin memenangi hati pengundi muda, parti tersebut perlu melaksanakan perubahan daripada pelbagai aspek.
Ini termasuk perubahan pemikiran, pendekatan; kepimpinan dan perubahan calon-calon PRU-15. Adakah kita hanya nak lihat saja parti-parti lain seperti DAP, PKR dan MUDA mempengaruhi golongan muda ini, tanpa UMNO sendiri tak melakukan usaha ke arah itu?
“UMNO tak boleh lagi terlalu bergantung harap kepada pengundi-pengundi matang sedia ada saja sedangkan peluang untuk meraih sokongan pengundi 18 terbuka luas,” katanya.
Justeru Nur Jazlan menyokong pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Konvensyen BN Selangor bulan lalu yang meminta kepimpinan BN negeri itu memberi peluang kepada muka baharu dan golongan profesional sebagai calon.
Menurut Nur Jazlan, pengundi muda sudah tak hairan dengan cara politik lama dan penuh dengan retorik perjuangan demi bangsa dan agama.
Orang muda lebih tertarik kepada politik berasakan pergerakan yang bermula dalam skala kecil tapi menarik citarasa mereka.
“Sebab itulah bila ada pihak buat flash mob, petisyen dan piket politik, kita lihat ramai anak muda turun padang. Sampaikan ada politikus guna modal nak halalkan ganja pun, ada anak muda yang sokong.
“Oleh itu UMNO kena berubah ikut trend semasa tapi dalam pendekatan penuh rasional untuk menawan hati pengundi muda ini. Kalau tak susahlah UMNO nak bawa orang muda bersama dalam gerakan parti di masa depan,” katanya.
Tambahnya, UMNO perlu mencontoh reformasi parti yang lebih junior seperti PKR.
Pada pemilihan parti itu bulan lalu berlaku perubahan besar yang dibuat oleh perwakilan apabila ramai orang muda diberi kepercayaan untuk berada dalam barisan kepimpinan tertinggi.