Jika Terus Bersama DAP, Masa Depan UMNO Semakin Kelam

KUALA LUMPUR: Menyorot keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Sabtu lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat ramalan UMNO akan terus berkubur pada pilihan raya umum yang akan datang.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa nasib malang akan terus menghimpit UMNO jika mereka meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), atau DAP secara khususnya.

Pada PRK Kemaman Sabtu lalu, PAS menerusi calonnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan majoriti 37,220 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

“Kemaman menunjuk bahawa sokongan kepada Umno merosot lagi. Selagi Umno bersekongkol dengan DAP sokongan kepada Umno akan terus merosot.

“Dalam PRU16, Umno akan hapus sama sekali,” kata Mahathir dalam kenyataan.

Dalam pada itu Dr Mahathir mendakwa langkah yang boleh diambil UMNO untuk menjadilan ia relevan adalah memisahkan kerjasamanya dengan DAP.

Beliau percaya usaha berkenaan boleh menyelamatkan parti Melayu itu, selain kembali kepada perjuangan untuk bangsa, negara dan agama.

Katanya, pengundi muda ketika ini tidak lagi menyedari jasa dan peranan UMNO memajukan negara daripada belenggu kemiskinan lampau.

“Pemimpin yang usang perlu digugurkan…dan masalah Melayu perlu diperjuangkan semula. Khusus berkenaan kemiskinan orang Melayu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles