BERTAM: Pemilihan parti akan datang menjadi penentu sama ada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam PKR masih diterima atau sebaliknya.
Presiden PKR itu turut mendakwa dirinya bersedia melepaskan jawatan itu, sekaligus memberi laluan kepada golongan muda untuk menerajui parti berkenaan sekiranya konsensus dicapai.
Anwar berkata dirinya terbuka dengan sesiapa yang disokong untuk memimpin parti itu.
“Buat masa ini, kita belum putuskan bila pemilihan parti akan diadakan dan kita bagi ruang kalau konsensus mahu terima yang baharu.
“Kita harus terbuka, jangan terlalu mengongkong kebangkitan tokoh-tokoh baru.
“Selain itu, kita akan tengok tokoh ditonjolkan macam mana, konsensus kepimpinan dan move on,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang di Penang Golf Resort, hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang,Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.
Bukan lagi rahsia apabila suara-suara dia dalam PKR sendiri mahu Anwar berundur selepas parti itu menyaksikan kekalahan di dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bukan iti sahaja, sekutu PKR di dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP turut menolak kepimpinan Anwar yang didakwa mereka tidak lagi relevan mengemudi gabungan berkenaan.