Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menjangkakan Malaysia bakal mencapai sifar kes Covid-19 pada pertengahan Julai nanti sekiranya rakyat Malaysia kekal patuh dengan semua prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), khususnya menjaga penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, menjaga kebersihan dan memakai pelitup separuh muka.
“Selepas dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kita tidak mencatatkan peningkatan kes mendadak dan jumlah kes baharu masih terkawal, bererti kepatuhan rakyat sangat tinggi.
“Jumlah kes baharu juga semakin berkurangan dengan beberapa kali mencatatkan satu angka dalam sehari dan mungkin dalam sebulan lagi, jika rakyat patuh SOP dan nasihat KKM, kita akan berjaya capai sifar kes baharu.
“Tindakan untuk kita berjaya capai sifar kes COVID-19 ketika ini bukan pada KKM, sebaliknya bergantung sama ada rakyat patuh SOP atau tidak,” katanya pada sidang media harian mengenai COVID-19 di sini, hari ini.