Jika PRK Kemaman Diadakan, PN ‘Kaut’ Majoriti Lebih Besar, Dakwa Fadhli

KUALA LUMPUR: Meskipun menghormati keputusan mahkamah, Perikatan Nasional (PN), terutama PAS nekad berusaha sehabus mungkin untuk kembali menang di Parlimen Kemaman jika Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari bagaimanapun berkata terserah kepada pucuk pemimpin gabungan berkenaan, menentukan sama ada mahu merayu terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu yang membatalkan kemenangan PAS di kerusi itu.

Jika PN berhasrat untuk merayu, mereka perlu memfailkan permohonan sebelum 3 Oktober ini.

“Insya Allah, kami akan menang sekali lagi dengan majoriti lebih besar,” katanya memetik FMT.

Untuk rekod pada PRU15 tahun lalu, Che Alias Hamid dari PN memenangi kerusi itu dengan majoriti 27,179 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Bagaimanapun, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini membatalkan kemenangan PN selepas mendapati bantuan i-Belia dan i-Siswa dibayar kepada pengundi semasa tempoh berkempen merupakan rasuah.

Dalam pada itu mengulas hal yang sama, Fadhli mendakwa wujud dwistandard dalam perkara yang dikaitkan sebagai bantuan.

Ini memandangkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini menyatakan pengumuman peruntukan kerajaan dalam tempoh pilihan raya bukan rasuah.

Fadhli kemudiannya memberi contoh pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu ketika berkempen untuk PRN pada 12 Ogos lalu.

Zahid dalam sebuah majlis di Dungun mengumumkan geran RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu, RM200,000 kepada pasukan motosikal di seluruh negeri dan RM100,000 buat Persatuan Belia Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) – yang didakwa Fadhli itu juga sebagai rasuah.

BBerkaitan

Latest articles