Jika Keputusan Memihak Isnin Ini, Najib Dibenarkan Jalani Tahanan Rumah

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkemungkinan dibenarkan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah serta-merta sekiranya Mahkamah Tinggi memutuskan semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum memihak kepadanya pada Isnin ini.

Perkara itu dibayangkan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang menegaskan keputusan mahkamah perlu dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan.

Menurut Shafee, sebarang isu teknikal atau persiapan di kediaman tidak wajar dijadikan alasan untuk melengahkan pelaksanaan keputusan jika mahkamah membenarkan permohonan tersebut.

Malah, katanya, tindakan susulan pihak pendakwaan termasuk kemungkinan rayuan tidak akan menjejaskan penguatkuasaan keputusan Mahkamah Tinggi sekiranya berpihak kepada Najib.

Mahkamah sebelum ini menetapkan keputusan pada 5 Januari 2026, namun tarikh itu diawalkan kepada 22 Disember ini susulan permohonan firma guaman Shafee & Co.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib memohon supaya pelaksanaan Titah Adendum, jika wujud, dilaksanakan dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib meneruskan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan mengesahkan kewujudan Titah Adendum yang didakwa diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Najib kini menjalani hukuman penjara sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd; hukuman itu kemudiannya dikurangkan kepada enam tahun dan denda RM50 juta selepas pengampunan diraja.

BBerkaitan

Latest articles