Jika Boleh Elakkan Bulan Madu Di Mekah, Umrah Untuk Ibadah

KUALA LUMPUR: Hari ini dapat dilihat ramai pasangan baru berkahwin memilih Mekah sebagai destinasi bulan madu mereka.

Bagaimanapun, Mutawif dari Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ahmad Junaidi Omar berpandangan trend sedemikian tidak bersesuaian kerana Mekah dianggap sebagai tempat beribadah dan penyucian jiwa.

Beliau dalam pada itu menambah, pemilihan destinasi tersebut bergantung kepada niat dan tujuan individu tersebut ke tanah suci.

“Bagi pandangan saya, boleh buat pakej bulan madu sambil umrah, namun seeloknya dielakkan.

“Hal ini kerana tujuan utama menunaikan umrah adalah untuk beribadah di mana Mekah dan Madinah adalah tempat untuk penyucian jiwa,” katanya memetik Sinar Harian ketika ditemui semasa Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan.

Menurut Ahmad Junaidi yang sudah berpengalaman selama lapan tahun sebagai mutawif, jika ia dilakukan kerana trend dan bukannya untuk mengambil keberkatan maka tidak sesuai.

Sementara itu Ahmad Junaidi bersetuju dengan galakan mendedahkan ibadah umrah pada usia muda.

Katanya, sebagaimana Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan yang memberi peluang kepada golongan muda untuk mengenali dan menambah ilmu berkaitan agama Islam di samping penyucian jiwa.

“Sesetengah orang tidak terfikir tentang perkara ini, tunggu sudah berusia baru hendak ke Mekah.

“Saya berharap dengan program ini dapat menjadi contoh serta membuka minda para peserta untuk menjadi anak muda yang hebat, serta faham tentang agama,” kata beliau.

BBerkaitan

Latest articles