More

    “Jika Betul Kepimpinan Ketua, Wakil Rakyat Akan Ikut” – Tajuddin

    Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini secara terbuka menegur Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memahami tanggungjawabnya dalam mengemudi parti dan ahli-ahli.

    Ujarnya, perkara ini penting supaya pemimpin dan ahli-ahli tidak mengambil pendirian sesuka hati dan membelakangi pendirian parti.

    Reaksi Ahli Parlimen Pasir Salak itu muncul selepas wujud dakwaan Zahid gagal mengawal pendirian ahli-ahli parti selepas beliau dalam satu kenyataan sebelum ini berkata tidak boleh menghalang mana-mana pemimpin Umno untuk menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru.

    “Presiden perlu ada kawalan ke atas parti dan kepada wakil rakyat mewakili parti dalam kerajaan, jangan buat sesuka hati kerana mereka orang parti.

    “Itu perlu ada dalam kepimpinan kita, saya harap presiden akan menginsafi balik peranan dan tanggungjawabnya.

    “(Jika) betul kepimpinannya, dia (wakil rakyat) akan ikut. Jika ada yang tak ikut, kena tanya di mana salahnya,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Kenyataan Tajuddin itu menyusul selepas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan pada semalam menyifatkan Umno kini menjadi pemain politik terpencil di Sabah.

    Malah Mohamad juga menasihati Zahid untuk menetapkan hala tuju parti yang jelas supaya penyokong tidak terumbang-ambing.

    Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan Umno akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan Umno dalam jangka waktu panjang,” katanya.

    Kenyataan Mohamad itu dibalas dengan Zahid yang menyatakan bahawa beliau akan membentangkan laporan komprehensif untuk menetapkan hala tuju Umno dan akan dimulakan dengan perbincangan di peringkat biro politik, sebelum dibawa ke Majlis Tertinggi.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini