Jika Benar MP PN Ditawar Jawatan, Projek, Mengapa Tak Lapor SPRM?

KUALA LUMPUR: Laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dibuat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa mereka menerima tawaran jawatan dan projek untuk menyokong kerajaan.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, aduan tersebut memberi peluang pihak berkuasa tersebut membuat siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Dalam kes ini seperti yang dibangkitkan Ahli Parlimen Jelutong (RSN Rayer) sekiranya dua ahli Parlimen itu mempunyai maklumat sedemikian mereka sepatutnya membawa aduan kepada SPRM agar tindakan lanjut dan siasatan dibuat.

“Tapi mereka perlu buat aduan,” katanya ketika penggulungan Belanjawan di Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan mengenai tindakan yang perlu dilakukan oleh ahli Parlimen yang mendakwa menerima tawaran untuk menyokong parti.

Beberapa hari lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa beberapa ahli Parlimen PN ditawarkan jawatan dan projek untuk membuatkan mereka menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Ahli Parlimen Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh mendakwa dihubungi seseorang melalui Whatsapp dan emel untuk menawarkan projek pembinaan hotel dan pasar raya di kawasan masing-masing.

BBerkaitan

Latest articles