Jika anda seorang peminat kelab bola sepak England, Manchester United anda berpeluang untuk bekerja untuk mereka dan mungkin ada rezeki untuk bekerja di Old Trafford, Manchester.
Walaupun kini dunia bola sepak khususnya Liga Perdana Inggeris sedang digantung segala perlawanan ekoran penularan wabak Covid-19, kerja promosi dan memberikan maklumat terkini perkembangan kelab masih perlu berjalan seperti sediakala.
Bukan selalu, peminat kelab yang dianggap antara terbaik di Eropah dibuka peluang dan tawaran untuk bekerja dengan kelab berkenaan secara langsung. Kelab itu membuka peluang kepada peminat tegar untuk menjadi Pengurus Media Sosial Manchester United.
Tugasnya, mempromosi kelab itu kepada 1.1 bilion peminatnya menerusi Twitter dan Instagram.
Skop tugasnya ialah mereka yang berjaya perlu memikirkan cara paling menarik untuk berhubung dengan peminat.
Mereka yang berjaya akan menjadi sebahagian daripada pasukan media sosial Manchester United dan akan menerima gaji 100,000 Pound Sterling (RM545,965) setahun.
Ada satu bahagian tugas yang menarik kepada para peminat yang berminat ialah anda kena membantu pemain dan ejen pemain dalam strategi menghasilkan kandungan di media sosial di samping itu menjadi seorang profesional dalam pengurusan media sosial.
Jika anda orangnya, anda mungkin menjadi orang pertama yang akan mengumumkan kemenangan Manchester United merangkul Piala FA di Twitter, menghasilkan kandungan video yang menarik untuk pemain seperti Marcus Rashford dan mungkin membuat siaran langsung dari stadium Old Trafford melalui Instagram.
Kalau itu semua tidak membuatkan anda teruja, mungkin peluang untuk menonton perlawanan Manchester United dalam keadaan selesa pada setiap musim akan mula buat anda berminat untuk jawatan ini. – TRI