Jika Ada Kuasa, Saya Hendak Tangguh Keputusan Ahmad Zahid – Anwar

KUALA LUMPUR: Dihimpit kritikan mencampuri keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sekiranya beliau mempunyai kuasa, sudah pasti beliau bertindak menangguhkan tindakan sedemikian.

“Kalau tanya saya, (kalau) saya ada kuasa, saya nak tangguh. Sebab saya hendak melepaskan semua ini (selepas) pilihan raya.

“Tapi Peguam Negara (Idrus) tak bersetuju, kata tarikh awal mahkamah ialah 4 haribulan dan 5 haribulan (September) tarikh akhir beliau, jadi beliau jalankan tanggungjawab dan tak mahu lepaskan tanggungjawab yang dia uruskan kepada yang lain,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Seri Petaling hari ini.

Malah Anwar memberitahu bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengambil tanggungjawab membuat keputusan melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid sebelum tempoh jawatannya sebagai Peguam Negara tamat pada 5 September lalu.

Ujarnya, keputusan itu dibuat Idrus selepas membaca dokumen bocor yang ditulis oleh Jabatan Peguam Negara yang tidak bersetuju dengan pendakwaan tersebut ketika zaman Tan Sri Tommy Thomas menjadi Peguam Negara.

Anwar berkata, Idrus memaklumkan keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid kepadanya.

“Dia juga lihat pencanggahan. Tentunya saya sebagai Perdana Menteri tahu kesan tuduhan yang dilemparkan saya terpaksa bertanya panjang kepada Peguam Negara kenapa keputusan begitu. Mengapa sekarang?,” Katanya.

Tambah Anwar, beliau tiada upaya menghalang keputusan yang dibuat oleh Idrus sebagai Peguam Negara ketika itu.

Sehubungan itu, semua pihak perlu berlaku adil kerana sebelum ini ramai tokoh terlepas dan tidak menjadi isu.

“Saya tak salahkan rakyat yang mahu penjelasan lanjut tetapi kalau kita baca 11 perkara yang dibentangkan di mahkamah di hadapan hakim, hakim berpuashati.

“Orang salahkan hakim, hendak bebankan hakim. Tidak. Ini proses dia sedemikian rupa. Saya tidak fikir adil kita jatuhkan hukuman kerana kita tidak suka orang politik.

“Semua kes berbeza, banyak kes terlepas sama ada sebelum atau selepas perbicaraan. Bersabar dan baca (11 alasan dibentangkan pendakwa),” kata Anwar.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

Terdahulu Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan bagi kesemua pertuduhan.

BBerkaitan

Latest articles