Jet Pejuang TUDM Terhempas Akibat Dilanggar Bangau

KUANTAN: Kemalangan jet pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 21 Ogos lalu disahkan berpunca daripada burung spesies Bangau Paya atau Purple Heron yang tersedut masuk ke dalam enjin kiri pesawat ketika berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, hasil siasatan Lembaga Penyiasatan mendapati burung berkenaan melintas di landasan ketika pesawat memecut untuk berlepas.

“Kesimpulan ini diperoleh menerusi analisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV), data daripada sistem perakam insiden penerbangan pesawat, bantuan teknikal US Navy, serta hasil analisis Jabatan Kimia Malaysia, STRIDE, PDRM dan PERHILITAN,” katanya pada sidang media khas, hari ini.

Menurut beliau, insiden berlaku ketika pesawat sudah berada pada kelajuan 146 knot pada ketinggian hampir 10 meter, sebelum kedua-dua anak kapal terpaksa melakukan ejection pada paras 50 meter dari landasan.

“Siasatan tidak menunjukkan sebarang masalah teknikal. Ia semata-mata kemalangan tidak dapat dielakkan apabila burung bersaiz besar masuk ke dalam enjin pada saat kritikal pesawat mahu berlepas,” katanya.

Ekoran laporan siasatan itu, TUDM menarik balik penggantungan operasi jet pejuang F/A-18D Hornet, malah ujian penerbangan pertama telah dijalankan pagi ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kedua-dua pegawai yang terlibat dalam nahas iaitu juruterbang Mejar Azhar Alang Kamarudin, 34, dan jurusensor senjata Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28, kini berada dalam fasa pemulihan.

“Kedua-duanya dijangka kembali bertugas pada 2 Oktober ini,” ujarnya.

Muhamad Norazlan turut menegaskan, ini adalah kali pertama insiden membabitkan pesawat F/A-18D terhempas akibat perlanggaran burung.

BBerkaitan

Latest articles