Kerajaan Jepun mempertimbangkan untuk memberikan suntikan secara percuma vaksin COVID-19 kepada rakyatnya dalam usaha mengurangkan kadar kematian dan mengurangkan jumlah pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital.
Agensi berita Xinhua melaporkan, dalam satu mesyuarat minggu lepas, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe mengumumkan kerajaan menjamin bekalan vaksin bagi separuh pertama tahun 2021 cukup untuk semua rakyat negara itu.
Vaksin akan dibeli menggunakan dana simpanan untuk tahun fiskal semasa hingga Mac 2021.
BACA JUGA – SPRM Nafi Sekat Guan Eng Ke Sabah
Awal bulan ini, kerajaan bersetuju dengan syarikat pengedar ubat Britain, AstraZeneca Plc untuk menerima 120 juta dos vaksin Covid-19 yang dibangunkan dengan Universiti Oxford.
Mesyuarat berkenaan turut memutuskan mengenai langkah-langkah baharu memerangi virus maut itu sebagai persediaan awal mengekang penularan wabak influenza pada musim sejuk dan kemungkinan gelombang kedua jangkitan.
Sementara itu, dunia terus merekodkan peningkatan jumlah pesakit COVID-19.
Sejak 24 jam yang lepas, seramai 260,000 orang lagi dijangkiti penyakit berkenaan.
Secara keseluruhan, seramai lebih 25 juta orang telah terkena penyakit berkenaan di seluruh dunia.