Jentera BN Bersiap Sedia Hadapi PRU15 Bila-bila Masa Sahaja

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) sentiasa bersiap-siaga pada bila-bila masa untuk memenangkan semua calonnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meskipun Parlimen dibubarkan pada hari ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah melaksanakan tanggungjawabnya untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berkenaan tarikh pembubaran Parlimen.

“Kita hormati (pengumuman khas PM) kerana kuasa mutlak terletak kepada YDPA.

“Saya pasti Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk menasihati Agong seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan itu telah melaksanakan tugasnya.

“Saya fikir bila pun pembubaran itu diumumkan, kami di dalam BN sentiasa bersiap-siaga.

“Bila pun tarikh yang akan diumumkan, lebih-lebih lagi jika ianya dibubarkan pada hari ini, maka kami bersedia juga bersedia untuk melakukan terbaik memenangkan calon-calon daripada parti komponen BN,” katanya pada sidang media, hari ini, selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Presiden MIC, Tan Sri S.Vigneswaran dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Beliau mengulas satu poster yang tersebar di media sosial sejak awal pagi tadi kononnya Perdana Menteri akan membuat perutusan khas di semua saluran tv pada jam 3 petang ini.

Malah poster itu juga mengaitkan desas-desus yang mengatakan pembubaran Parlimen penggal ke-14 itu akan dilakukan selepas pembentangan Bajet 2023 tanpa perlu dibahas dan diluluskan di Dewan Rakyat.

Andaian itu semakin berasas apabila Perdana Menteri dilaporkan menghadap YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, tengah hari semalam.

Media melaporkan, kunjungan Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak dihidu media yang biasanya berkumpul di luar pintu utama istana.

Ini kerana kebanyakan media membuat liputan sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sejak pagi semalam.

BBerkaitan

Latest articles