KUALA LUMPUR: Jenazah pendaki Malaysia, Rennie Abdul Ghani, 57, yang maut selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia pada Sabtu lalu, selamat dikebumikan pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah, Cahaya Masai.
Lebih 150 ahli keluarga, kenalan dan sahabat handai hadir memberi penghormatan terakhir dalam suasana pilu pada pengebumian yang berlangsung sekitar jam 7.20 pagi tadi.
Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan selepas solat Subuh di Surau Raudhatul Jannah, Taman Sierra Perdana, yang diimamkan oleh anak sulungnya, Mohamad Akashah Rennie.
Van jenazah yang membawa jasad Rennie tiba di kediaman keluarganya di D’Sierra Ville sekitar jam 3 pagi selepas berlepas dari Lombok pada jam 6 petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 9.26 malam semalam.
Allahyarham yang merupakan seorang jurutera meninggalkan seorang balu, Mastura Tawap, 53, dan tiga anak — Mohamad Akashah, 29; Syafaatul Amirah, 28; dan Anisa Sofea, 20.
Sebelum ini, media melaporkan Rennie maut selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani ketika menyertai ekspedisi pendakian bersama 23 pendaki lain bermula 1 Mei lalu.
Kejadian berlaku di kawasan Banyu Urip dan dilaporkan oleh seorang jurupandu daripada agensi Juan Adventure Rinjani.
Jenazah Rennie berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian pada Ahad (5 Mei) kira-kira jam 8.30 malam (waktu Malaysia) dan tiba di Hospital Bayangkara Mataram pada jam 11 malam untuk proses dokumentasi dan penghantaran pulang.
Operasi menyelamat dijalankan oleh anggota daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Mataram bersama pasukan perubatan serta unit SAR Lombok Timur.