Jenazah Lelaki Maut Ditembak 18 Das Selamat Dikebumi Di Pasir Mas

PASIR MAS: Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra apabila jenazah rakyat Malaysia yang maut ditembak di Sungai Golok, Thailand semalam, selamat dikebumikan sekitar jam 2.30 petang tadi.

Mangsa, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 35, disemadikan dalam suasana penuh sebak dengan kehadiran lebih 100 ahli keluarga, rakan dan penduduk kampung yang hadir memberi penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah disolatkan di Masjid Kubur Besar, Sungai Golok, sejurus selepas proses bedah siasat di Hospital Sungai Golok selesai.

Ia kemudian dibawa pulang ke Malaysia melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang kira-kira jam 11.30 pagi.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Fuad parah ditembak ketika berlaku pertengkaran di rumahnya di Sungai Golok sekitar jam 6.40 petang semalam, sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

Menurut laporan pihak berkuasa Thailand, sepucuk pistol ditemui di lokasi kejadian dan dua individu kini sedang diburu kerana disyaki terbabit dalam insiden itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan namun memaklumkan bahawa siasatan dijalankan sepenuhnya oleh polis Thailand memandangkan ia berlaku di negara berkenaan.

Lebih menyayat hati, isteri mangsa, Wan Fatihah Mat Husin, 35, yang sedang sarat mengandung, mendedahkan beliau menyaksikan sendiri suaminya ditembak sebanyak 18 das oleh dua lelaki tidak dikenali.

Katanya, hasil pemeriksaan hospital mendapati peluru mengenai beberapa bahagian badan termasuk dada dan perut, dan beliau masih trauma dengan kejadian ngeri yang berlaku di depan matanya sendiri.

BBerkaitan

Latest articles