Jenazah Allahyarham bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas, 91 tahun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Pusara di Kuala Terengganu pada pukul 10.30 pagi tadi.
Van yang membawa jazad Allahyarham tiba di perkarangan tanah perkuburan Islam berkenaan pada pukul 10.12 pagi.
Menurut laporan portal Kosmo Online, pengebumian Allahyarham dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang lengkap dengan pakaian peralatan perlindungan diri (PPE).
Ahli keluarga Allahyarham Mohamed Salleh hanya dibenarkan menyaksikan pengebumian dari tembok tanah perkuburan Islam berkenaan.
Arwah meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada pukul 3.20 pagi tadi.
Mohamed Salleh sekarang ini merupakan Pengerusi as-Salihin Trustee Berhad telah dimasukkan ke hospital berkenaan setelah disahkan positif Covid-19.
Beliau yang berasal dari Kampung Raja, Besut merupakan Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 hingga 1988.
Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih daripada Pas apabila memenangi Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999.