KUALA LUMPUR: Jemputan rasmi kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk hadir ke Malaysia dibuat atas mandat ASEAN, bukannya semata-mata keputusan Malaysia.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan, selaku pengerusi ASEAN ketika ini, Malaysia bertanggungjawab menyalurkan undangan itu bagi pihak semua negara anggota serantau.
“Jemputan ini bukan atas kapasiti Malaysia sahaja, sebaliknya kerana Malaysia memegang mandat ASEAN. Ini peluang baik untuk semua negara anggota berinteraksi bukan hanya dengan Presiden Trump, tetapi juga pemimpin dunia lain yang turut dijemput,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurut Fahmi, kehadiran Trump ke Malaysia memberi ruang kepada Perdana Menteri menyatakan pendirian tegas Malaysia berhubung isu Palestin, seperti yang pernah dilakukan dalam Sidang APEC di San Francisco sebelum ini.
“Di APEC, Perdana Menteri secara berani menyatakan sokongan penuh rakyat Malaysia terhadap Palestin serta menegur sikap hipokrit sesetengah negara. Kali ini, ASEAN pula mendapat peluang untuk menyampaikan pandangan mereka secara langsung,” katanya.
Malaysia juga, katanya, giat memainkan peranan dalam usaha pemulihan Gaza, termasuk melalui perbincangan bersama Jepun serta sokongan negara lain seperti Luxembourg yang telah mengiktiraf Palestin.
“Maka, inilah masa paling sesuai untuk kita nyatakan bukan sekadar pendirian Malaysia, tetapi juga hasrat ASEAN dan negara sahabat dalam membangunkan semula Palestin,” ujarnya.
Fahmi turut menegaskan, menjemput Trump merupakan pendekatan yang lebih mencabar berbanding memulau, namun penting untuk membuka saluran komunikasi dengan kuasa besar dunia itu.
“Kita perlukan dialog. Memulau memang mudah, tetapi Perdana Menteri berpendirian jelas Malaysia mahu dialog. Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia akan terus mempertahankan Palestin, menyokong hak mereka, dan memperbetulkan kedudukan isu ini di peringkat antarabangsa,” katanya.