Jemputan Trump Bukan Hubungan Dua Hala, Tapi Tanggungjawab ASEAN

KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan jemputan ke atas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Kuala Lumpur dibuat atas kapasiti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, dan bukannya atas hubungan dua hala Malaysia–AS.

Beliau menegaskan, semua ketua negara yang menjadi rakan dialog ASEAN menerima jemputan rasmi tanpa pengecualian, memandangkan Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 hingga 28 Oktober ini.

“Sebagai pengerusi, kita menjemput semua ketua negara hadir. Ini bukan jemputan Malaysia secara individu, tetapi atas nama ASEAN. Kenduri ini kenduri ASEAN, bukan kenduri Malaysia,” katanya dalam sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Sepang, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim.

Mohamad menegaskan bahawa ASEAN harus dilihat sebagai sebuah blok yang neutral dan tidak memihak, justeru semua pemimpin dunia termasuk dari Asia, Eropah, Kanada, Afrika dan Amerika Latin turut dijemput.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, kita mesti menguruskan jemputan ini dengan adil. Tidak boleh pilih kasih – jemput yang satu, tolak yang lain. Itu bukan amalan diplomatik yang baik,” jelasnya.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyuarakan bantahan terhadap kehadiran Trump.

Mereka menegaskan tindakan AS menyokong kekejaman Israel di Palestin serta menyalurkan dana, senjata dan bantuan ketenteraan kepada rejim Zionis adalah alasan kukuh untuk menolak jemputan itu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan Malaysia akan menggunakan platform ASEAN untuk terus menyuarakan isu Palestin secara berstrategi.

“Malaysia perlu bijak berunding. Kita tetap akan mempertahankan kebenaran dengan suara yang tegas, tetapi melalui pendekatan diplomasi yang berkesan,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka menjadi tumpuan dunia dengan kehadiran pelbagai pemimpin utama dari seluruh rantau.

BBerkaitan

Latest articles