“Jemput Pun Tidak” – Hamzah Bidas Muhyiddin Susulan Mesyuarat Malam Ini

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin mendedahkan beliau tidak menerima sebarang jemputan untuk menghadiri mesyuarat yang dijadual berlangsung di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini, dipercayai berkenaan hala tuju kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Hamzah, beliau langsung tidak dimaklumkan mengenai pertemuan yang dikatakan akan membincangkan kemelut jawatan Pengerusi PN, meskipun ia dijadualkan pada jam 8 malam.

“Bukan macam itu, (patutnya) ‘adakah Datuk Seri dijemput untuk menghadiri mesyuarat ini? Apalah soalan, jemput pun tidak, nak suruh hadir macam mana?” katanya menjawab soalan wakil media di Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah juga menegaskan bahawa ketiadaan jemputan mustahil membolehkan beliau hadir.

Difahamkan, pertemuan di kediaman bekas Pengerusi PN itu akan melibatkan empat presiden parti komponen gabungan berkenaan, susulan pembatalan mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang sepatutnya diadakan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Hamzah menjelaskan pertemuan tersebut hanya bersifat awal bagi menetapkan hala tuju sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin serta melantik pengganti.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung surat yang didakwa ditulis Muhyiddin dan tular semalam, sebaliknya menyindir isu kebocoran surat itu wajar dirujuk kepada Pengerusi PN dan Setiausaha Agung, yang difahamkan telah meletakkan jawatan.

“Saya Timbalan Presiden Bersatu, jadi kena tanya Pengerusi PN macam mana (surat itu) bocor, saya tidak tahu ada surat itu, betul ke ada? Surat apa yang bocor?

“Kita tanya Setiausaha Agung (PN), oh ya, Setiausaha Agung sudah meletakkan jawatan,” katanya.

Terdahulu, spekulasi politik kembali hangat apabila tersebar dakwaan surat-menyurat antara Muhyiddin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mencetuskan persoalan siapa bakal menerajui PN.

Antara kandungan yang didakwa bocor termasuk pertemuan di kediaman Muhyiddin pada 16 Januari lalu, yang dikatakan mencapai kesepakatan awal dalam usaha menyelesaikan isu peletakan jawatan Pengerusi PN.

BBerkaitan

Latest articles