Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Sabah raih RM6.47 juta jualan, potensi perniagaan

KOTA KINABALU: Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) menyaksikan sambutan luar jangkaan dalam kalangan masyarakat negeri ini sepanjang tiga hari penganjuran program itu yang berakhir hari ini.

Sekretariat Program JAKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu menerima 24,198 pengunjung setakat 3 petang tadi, sementara RM6.47 juta jualan dan potensi perniagaan juga berjaya diraih.

Penyertaan 181 gerai jualan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) serta program padanan perniagaan dalam siri jelajah itu turut merancakkan aktiviti ekonomi terutamanya bagi usahawan tempatan.

Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia pula menyaksikan 459 peserta dipanggil menghadiri temu duga dengan 148 berjaya ke tapisan akhir dalam jawatan dipohon, manakala 139 ditawarkan pekerjaan.

Jualan Keluarga Malaysia turut menjadi tumpuan kebanyakan pengunjung yang merebut peluang tawaran potongan harga lebih rendah daripada harga pasaran bagi pelbagai barangan keperluan harian.

Program lain bersifat rekreasi dan hiburan seperti pertandingan sukan elektronik (e-sports), sukan rakyat dan pertandingan bintang patriotik serta pameran kucing dan demonstrasi Jabatan Hidupan Liar Sabah, nyata memberi pengalaman menyeronokkan, terutama kepada pengunjung berkeluarga.

Pengunjung juga berpeluang menimba ilmu dan mendengar penerangan serta tawaran perkhidmatan langsung kerajaan, sesi bimbingan usahawan dan pemberian bantuan dan insentif.

Sebanyak 27 reruai kaunter perkhidmatan mengambil bahagian pada siri JAKM kali ini membabitkan pelbagai kementerian dan jabatan serta agensi Persekutuan dan negeri.

Kaunter perkhidmatan bergerak badan kerajaan juga disediakan antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Mobile), Pusat Keluarga Bergerak (PKB), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Klinik Pergigian dan Kementerian Kesihatan.
JAKM yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, adalah kesinambungan daripada kejayaan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Disember lalu.

Sabah lokasi ketiga siri JAKM dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) adalah kementerian peneraju bagi program jelajah di Sabah dan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri selaku tuan rumah, manakala Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) penyelaras utama bagi semua 14 siri jelajah, termasuk acara penutupan di Putrajaya.

Penganjuran JAKM, yang sudah menjelajah ke Johor dan Perlis, sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyumbang kepada rakyat melalui penganjuran program yang berfokuskan kepada kemudahan perkhidmatan secara langsung, sekali gus menjamin keharmonian serta kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles