“Jawapan Minggu Depan” – Dr Akmal Terus Berteka-Teki Di Sebalik Soal Pengunduran

KUALA LUMPUR: Selepas menafikan dakwaan bakal berundur, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh terus mencetuskan tanda tanya apabila memberi bayangan bahawa keputusan muktamad mengenai kedudukannya dalam politik hanya akan diumumkan pada minggu depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Dr Akmal berkata beliau akan membawa suara yang disuarakan pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO sebelum ini ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bakal berlangsung, demi apa yang disifatkannya sebagai “penyatuan agama dan bangsa”.

Menurutnya, pandangan itu bukan suara peribadi, sebaliknya datang daripada akar umbi melalui cawangan dan bahagian parti.

“Kita sudah bersuara di konvensyen dengan mendengar suara orang awam. Insya-Allah kita akan teruskan di PAU minggu depan, membawa suara akar umbi parti melalui cawangan dan bahagian demi penyatuan agama bangsa kita,” katanya.

Dr Akmal yang juga Exco Melaka menegaskan beliau tidak gentar bersuara mengenai perkara yang dianggap benar, dan menolak tanggapan bahawa dirinya bergiat dalam politik semata-mata untuk mengejar jawatan atau gelaran.

Katanya, kedudukan beliau dalam parti dan kerajaan juga akan diumumkan secara rasmi di PAU nanti.

“Insya-Allah kedudukan saya dalam parti dan kerajaan akan saya maklumkan di PAU minggu hadapan. Siapalah kita tanpa rakyat yang mengangkat kita ke kedudukan hari ini,” katanya lagi.

Isu mengenai masa depan politik Dr Akmal kembali hangat selepas sebuah portal berita melaporkan beliau dikatakan mahu melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau.

Laporan itu memetik sumber yang mendakwa mesej berkenaan dihantar kepada beberapa pemimpin Pemuda UMNO melalui WhatsApp ketika beliau berada di Shanghai, China.

Namun, Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin kemudian menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan Dr Akmal tidak meletakkan jawatan.

Sebelum ini, Dr Akmal mempengerusikan Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang meluluskan sokongan terhadap gesaannya supaya UMNO bergabung dengan PAS dalam blok pembangkang.

Cadangan itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO, namun ditolak oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan parti itu akan kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga pilihan raya akan datang.

Susulan penolakan itu, Dr Akmal memuat naik mesej mengenai isu “berundur”, yang kemudian mengundang cabaran daripada pemimpin Pakatan Harapan supaya beliau benar-benar melepaskan jawatan.

BBerkaitan

Latest articles