Bangun dan jatuhnya sesebuah kerajaan adalah berdasarkan prinsip tanggungjawab dan kebersamaan, demikian kritikan Tun Dr Daim Zainuddin terhadap penulisan bekas peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Dakwa Daim, adalah tidak patut untuk Tommy menyalahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semata-mata di atas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), pada Februari tahun lalu, meskipun beliau mempunyai hak dan kebebasan untuk menulis pandangannya.
Daim memberikan responnya terhadap buku Thomas, “My Story:Justice in the Wilderness” yang diterbitkan dua minggu lalu dan menjadi kontroversi dan kritikan pelbagai pihak.
“Dalam kerajaan, ada konsep tanggungjawab bersama. Oleh itu saya fikir adalah tidak adil untuk menyalahkan Mahathir bulat bulat,” kata Daim yang dipetik wawancaranya bersama FMT.
Mempertahankan Dr Mahathir, Daim seterusnya mendakwa bahawa bekas Pengerusi BERSATU itu sedar bahawa kuasa yang diperolehinya selepas PH menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu tidak sama apabila beliau menjawat jawatan yang sama pada pertama kali.
“Beliau tidak ada sokongan besar seperti yang diberi oleh Umno semasa jadi PM pertama dulu. Oleh itu Mahathir terpaksa mentadbir menurut konsenses.
“Malah beliau kerap dikekang oleh parti komponen dalam gabungan pimpinannya kerana mereka mengutamakan politik kepartian berbanding agenda nasional,” kata Daim.
Atas konsep konsensus, maka kejatuhan kerajaan PH tahun lalu seharusnya dipikul bersama anggota lain dalam Jemaah Menteri dan juga Ahli Parlimen gabungan itu.
“Sebagai contoh, isu perkauman tentunya tidak boleh diatasi oleh seorang sahaja. Semua mesti bekerjasama untuk menyelesaikan isu serius itu.
“Adalah terlalu mudah dan amat tidak adil untuk letak masalah perkauman atas bahu seorang. Kita semua ada peranan masing-masing jika kita sayangkan negara ini,” ujarnya.
Bercakap tentang buku itu, ujar Daim, Tommy perlu diberikan ruang untuk mempertahankan apa yang ditulisnya dan mendakwa kemungkinan Tommy tidak mendapat maklumat penuh dalam beberapa isu penulisannya.
“Bagaimanapun Tommy mesti diberi ruang untuk mempertahankan dirinya terhadap kritikan mengenai buku itu.
“Beliau ialah seorang peguam yang masih aktif dan juga bekas peguam negara. Beliau tentunya arif mengenai undang-undang, jauh lebih baik daripada orang lain.
“Beliau menulis berdasarkan apa yang beliau perhatikan dan membuat kesimpulan berasaskan itu. Dalam beberapa perkara yang tidak menyenangkan orang, mungkin beliau tidak mendapat maklumat penuh, cerita yang lengkap, sehingga membuat kesimpulan yang agak tergesa-gesa.
“Kamu boleh setuju atau tidak dengan buku ini tetapi mereka yang memegang jawatan tinggi terutama menteri dan ketua jabatan memikul tanggungjawab berat, berurusan dengan hal rahsia dan sensitif dan terikat dengan pelbagai undang-undang dan ini sememangya diikuti (secara tradisi),” katanya.