KLUANG: Gara-gara terlalu menggemari sambal nasi lemak, seorang lelaki bujang akhirnya terjerat cinta terlarang sehingga dicekup berkhalwat dengan isteri orang dalam serbuan pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah rumah sewa di Kluang, lewat malam tadi.
Dalam operasi cegah maksiat kira-kira jam 11.45 malam itu, penguat kuasa agama menyerbu rumah berkenaan selepas menerima maklumat orang awam.
“Pemeriksaan mendapati rumah tersebut didiami seorang wanita berusia 28 tahun bersama lelaki bujang berusia 30 tahun.
“Siasatan mendapati wanita itu masih berstatus isteri orang sejak 2017, namun sudah tidak tinggal serumah dengan suaminya yang berasal dari Mersing meskipun belum bercerai,” kata JAINJ dalam kenyataan hari ini.
Dikatakan wanita tersebut dilaporkan mula mengenali pasangannya ketika sama-sama bekerja di sebuah kedai makan di Kluang.
“Perkenalan mereka bermula apabila lelaki itu meminati sambal nasi lemak yang dimasak wanita berkenaan, sebelum hubungan mereka berputik menjadi cinta terlarang.
“Pasangan itu kemudian sepakat menyewa rumah sejak dua bulan lalu dan tinggal bersama seperti suami isteri,” tambah kenyataan itu.
Kedua-duanya kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pihak berkuasa turut mengingatkan masyarakat agar tidak memandang ringan isu khalwat dan menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti tidak bermoral demi menjaga keharmonian institusi keluarga.