KUALA LUMPUR – Pemergian Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, awal pagi ini telah menyentuh hati rakan seperjuangan, Datuk Indra Mohd Shahar Abdullah (Ahli Parlimen Paya Besar), yang berkongsi kenangan peribadi tentang sisi Allahyarham yang jarang diketahui umum.
Datuk Indra, yang duduk di sebelah Bung Moktar di Dewan Rakyat, menyifatkan kehilangan itu sebagai pemergian seorang sahabat yang duduk di sisinya. Beliau bersyukur pemergian itu berlaku pada hari Jumaat yang mulia.
Beliau mendedahkan sisi peribadi Bung Moktar yang berbeza daripada imej tegas yang dikenali ramai.
“Ramai mengenal ketegasannya, tetapi saya mengenal sisi yang jarang terlihat. Jarinya sentiasa tergengam tasbih bila berada di dalam dewan. Zikir perlahan yang sering melingkari ruang di antara kami, zikir yang tidak kuat, tetapi cukup untuk membuat hati ini merasa damai,” tulisnya.
Datuk Indra turut mengenang detik kecil, seperti rakaman video di mana Allahyarham membetulkan pin beliau. Beliau menyifatkan Bung Moktar sebagai seorang yang “membantu dalam senyap, hadir dengan ihsan, lebih banyak lembutnya daripada yang dunia sempat tahu.”
Beliau mendoakan agar Allah SWT melapangkan perjalanan, mengampunkan segala salah, dan menempatkan rohnya di taman-taman yang tenang.
“Pergimu tidak hilang, hanya berpindah ruang, Zikirmu masih hadir, mengusap relung yang bimbang. Budi yang kau tinggal, menjadi doa yang panjang, Semoga damai menjemputmu, dalam kasih Allah yang lapang. Al-Fatihah. Damailah Sahabatku di sana,” tutup Datuk Indra.










