Seorang ketua mafia terkenal di Itali, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas bertindak menggigit jari seorang pengawal penjara sehingga putus dalam satu kejadian pertengkaran Jun lalu.
Memetik laporan akhbar II Messagero, penjenayah itu, Gluseppe Fanara, 60 bertindak menyerang tujuh pengawal penjara ketika kesemua mereka sedang memeriksa biliknya.
“Ketika pertengkaran itu berlaku, dia (Fanara) menggigit jari di tangan kanan ejen itu. Jari itu kemudian hilang, menyebabkan pendakwa raya Rom menyimpulkan bahawa ia dimakan,” menurut laporan akhbar itu.
Banduan itu kemudian menyerang enam pengawal lain menggunakan penyapu sebagai senjata, sambil didakwa menjerit ‘saya kelar leher kamu seperti babi’.
Fanara kini ditempatkan di penjara bersekuriti tinggi Sassari di Sardinia dan berdepan pertuduhan baharu termasuk menyerang dan menentang penahanannya.
Fanara merupakan ketua kumpulan mafia dikenali sebagai Cossa Nostra, dan telah menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun yang berdepan dengan aturan ketat penjara Itali ’41-bis’, yang kebiasaannya dikenakan terhadap anggota mafia.
Aturan ketat itu mengasingkan ketua gengster bagi mengelakkan mereka menguruskan kumpulan masing-masing dari dalam penjara.
Awal tahun ini, Itali memutuskan untuk membebaskan ketua gengster yang sudah berusia dan lemah, termasuk daripada kumpulan Cosa Nostra yang berpengaruh.
Bagaimanapun, ia mencetuskan bantahan, sekali gus memaksa kementerian undang-undang meneliti semula pembebasan berkenaan.