Janji Hidang Nasi Beriani Kambing, Ayam Varuval Untuk PM Jika Berkunjung Ke Rumah

Pasangan suami isteri Sugu, yang popular dengan saluran Youtube ‘Sugu Pavithra’ semalam berjanji akan memasak hidangan istimewa nasi beriani kambing bersama kuah dal dan ayam varuval jika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertandang ke rumah mereka.

“Jika Perdana Menteri datang ke rumah saya, itulah yang saya akan masak walaupun agak mudah dan ringkas, tetapi rasanya sangat lazat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Menglembu, Ipoh.

Pavithra juga mengakui tidak menyangka nama mereka suami isteri disebut oleh Muhyiddin ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara yang disiarkan secara langsung semalam.

“Kenapa kami, memang tidak percaya kerana kami hanya orang biasa sahaja?” ujarnya.

Mengambil semangat keprihatinan PM, Pavithra dan suaminya, M. Sugu merancang untuk membuka restoran dan memasak hidangan seperti yang disukai orang ramai.

Terdahulu Muhyiddin mendoakan agar pasangan suami isteri itu mampu meningkatkan kemahiran dengan membuka kedai makan suatu hari nanti.

“Bolehlah kira merasa ayam varuval mereka,” demikian memetik ucapan Muhyiddin semalam.

Pasangan suami isteri ini mula terkenal di kalangan rakyat Malaysia kerana sering berkongsi video masakan di Youtube.

BBerkaitan

Latest articles