Jangkitan COVID-19 yang berlaku pada 40 orang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah disuntik vaksin adalah 10 kali ganda lebih rendah berbanding sebelum vaksinasi ke atas petugas barisan hadapan itu.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata secara purata 436 kes Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan dilaporkan dalam tempoh sebulan ketika gelombang pertama pandemik melanda negara pada Mac tahun lepas.
“Jumlah 40 petugas kesihatan yang dijangkiti COVID-19 ini berbanding 438,000 individu yang telah melengkapkan dua dos vaksin adalah peratus yang sangat kecil.
“Ini kerana 99.9% daripada individu yang telah melengkapkan dua dos vaksin itu tidak kena jangkitan tersebut, walaupun mereka adalah petugas barisan depan yang setiap hari berurusan dengan pesakit COVID-19,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 40 orang petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 selepas melengkapkan dos vaksinasi mereka, dengan sembilan daripadanya dijangkiti lebih dua minggu selepas menerima dos kedua dan 31 lagi dijangkiti dalam tempoh kurang dua minggu selepas inokulasi.
Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, perkembangan itu sejajar pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang menyasarkan penurunan signifikan kes, mengurangkan gejala yang teruk dan tidak mengancam nyawa pesakit.
“Dalam satu kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan sekitar Februari lepas, berkata hampir 4,800 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 untuk tempoh Mac 2020 hingga Februari 2021 atau secara puratanya 436 orang dijangkiti dalam tempoh sebulan.
“Jadi, kadar jangkitan melibatkan 40 petugas kesihatan selepas divaksin adalah 10 kali ganda lebih rendah berbanding purata 436 kes sebelum divaksin dan yang penting mereka tidak mengalami sebarang gejala teruk,” katanya.