“Jangan Ulangi Kesilapan” – Agong Titah Batal Beli Helikopter Lebih 30 Tahun

MERSING: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini meminta kerajaan membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang berusia lebih 30 tahun.

Sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), baginda mengingatkan supaya kementerian tidak mengulangi kesilapan lampau dalam urusan perolehan aset pertahanan.

“Jangan ulang kesilapan dulu bila kita beli pesawat SkyHawk terpakai. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut membangkitkan isu pengaruh ejen dan bekas pegawai tentera yang menjadi orang tengah dalam proses pembelian aset.

“Saya percaya di Kementerian Pertahanan penuh dengan ‘agent’ atau bekas Jeneral jadi ‘salesman’. Malah ada syarikat kain pun mahu jual ‘drone’.

“Kalau semua ikut harga orang tengah, peruntukan tidak akan cukup. Jangan cuba temberang saya,” titah baginda lagi.

Titah diraja itu disampaikan sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-60 di Kem Iskandar, Mersing, hari ini.

Baginda menegaskan kerajaan mesti mengutamakan keperluan sebenar pengguna di lapangan, dengan pembelian yang berlandaskan harga pasaran serta fungsi yang sesuai.

“Jangan buang masa beli barang merepek yang tidak sesuai dengan keperluan tentera. Kalau tidak tahu harga, tanya saya dahulu,” titah Seri Paduka yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK).

Sultan Ibrahim turut mengingatkan kembali teguran baginda lima tahun lalu berhubung pembelian bot Rigid Riding Craft (RRC) untuk pasukan komando pada harga RM5 juta, sedangkan bot lebih baik boleh diperoleh dengan harga bawah RM2 juta.

“Baru-baru ini pula saya dapat tahu ada cadangan beli lagi bot sama, cuma lebih besar sedikit, dengan harga hampir RM10 juta. Ini tidak masuk akal,” titah baginda.

Baginda juga mempersoalkan kelewatan projek kolam selam tempur di Kem Iskandar yang sepatutnya siap pada 2022, namun masih gagal berfungsi sehingga kini.

“Selain harga, kualiti barang juga mesti diutamakan. Jangan ulang kesilapan, jangan bazirkan peruntukan negara,” titah baginda.

BBerkaitan

Latest articles