“Jangan Tipu Rakyat Di Atas Kopiah Kamu,” – Mat Sabu Akan Dedah Penipuan Hadi

KUALA LUMPUR: Dakwaan PAS kononnya ia meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) kerana DAP menolak pelaksanaan hukum hudud dinafikam oleh Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Sebagai bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad atau mesra dipanggil Mat Sabu menyifatkan dakwaan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu sebagai satu penipuan.

Bahkan Mat Sabu memberitahu beliau akan mendedahkan punca sebenar PAS meninggalkan PR lapan tahun lalu dalam satu ceramah di Simpang Jeram, Muar pada malam ini.

“Semalam (kelmarin) presiden PAS (Hadi) ‘tembak’ mengatakan mereka tinggalkan PR kerana parti DAP tolak hudud. Saya tidak akan jawab malam ini, saya akan jawab malam esok (Isnin) di Simpang Jeram.

“Saya akan jawab malam nanti bagaimana presiden PAS membuat pembohongan kepada rakyat. Saya akan jawab satu persatu malam esok pembohongan itu.

“Aku bukan orang kecil, aku bekas Timbalan Presiden PAS. Jangan tipu Rakyat di atas kopiah kamu itu, ‘no more’”, katanya menurut Berita Harian dalam satu ceramah PRK Pulai di Johor Bahru malam tadi.

Selain mendakwa punca PAS keluar PR kerana DAP menolak hudud, Abdul Hadi dalam ceramah di markas PAS Bakri kelmarin turut berkata tindakan segelintir ahli dan bekas pemimpin parti itu menubuhkan Amanah kerana takut kalah pilihan raya.

PR yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS ditubuhkan pada 2008 berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di parlimen ketika itu selain menawan Selangor, Pulau Pinang, Kedah, dan Perak.

Bagaimanapun, gabungan itu terkubur tujuh tahun kemudiannya susulan keputusan PAS memutuskan hubungan dengan DAP.

Sebahagian pemimpinnya termasuk Mohamad kemudiannya keluar PAS dan menubuhkan Amanah untuk menjadi sebahagian komponen Pakatan Harapan (PH) yang merampas tampuk pemerintahan Putrajaya pada PRU2018.

BBerkaitan

Latest articles