KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memilih untuk tidak mengulas kontroversi membabitkan Datuk Seri Rafizi Ramli, sebaliknya menegaskan keutamaan ketika ini adalah sambutan Tahun Baru Cina dan bukan polemik politik.
Perdana Menteri menegaskan media dan rakyat tidak perlu terlalu memberi perhatian kepada isu lain ketika perayaan berlangsung, sambil menggesa semua pihak memberi ruang kepada suasana perayaan yang harmoni.
“Janganlah sibuk soal-soal lain, nantilah. Sabar. Lebih baik fokus pada sambutan Tahun Baru Cina,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis anjuran MCA di ibu negara, hari ini.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan susulan kenyataan Rafizi, bekas timbalannya dalam parti.
Beliau turut mengingatkan bahawa Tahun Baru Cina adalah masa untuk memperkukuh perpaduan dan diraikan dengan penuh kemeriahan tanpa dibayangi isu politik yang boleh menjejaskan semangat perayaan.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Terdahulu, Rafizi menerusi podcast Yang Berhenti Menteri secara terbuka mencabar kepimpinan parti agar memecatnya sekiranya kritikan beliau tidak lagi diterima.
Bekas Menteri Ekonomi itu turut mempersoalkan beberapa keputusan kerajaan, termasuk isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.










