KUALA LUMPUR – Kepesatan pembangunan di ibu kota semakin nyata, namun kepentingan rakyat tidak seharusnya dipinggirkan dalam mengejar kemajuan. Pembangunan negara perlu selaras dengan realiti sosio-masyarakat setempat dan tidak hanya mengutamakan keuntungan semata-mata.
Ketua Bahagian UMNO Seputeh, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Razlan bin Muhammad Rafii menegaskan bahawa kebanyakan perancangan pembangunan diserahkan kepada pemaju tanpa kawalan ketat daripada pihak kerajaan. “Jika pembangunan negara diserahkan sepenuhnya kepada pemaju, ia akan cenderung kepada keuntungan semata-mata, manakala aspek kebajikan rakyat mungkin terabai,” ujarnya.
Di Kuala Lumpur, rumah pangsa yang sudah mencapai usia lanjut memerlukan pembangunan semula yang lebih selesa dan kondusif. Namun, beliau menyatakan bahawa proses pembangunan semula ini mesti dikawal oleh badan yang melindungi kepentingan rakyat, khususnya penduduk rumah pangsa tersebut.
Razlan juga mencadangkan agar setiap kawasan rumah pangsa kekal sebagai kawasan yang bukan berorientasikan keuntungan semata-mata. “Kerajaan perlu memastikan pembangunan ini terus memberi manfaat kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Harga tanah yang tinggi tidak boleh dijadikan alasan untuk menyerahkan pembangunan kepada pihak swasta tanpa kawalan kerajaan,” tambahnya lagi.
MEMELIHARA PENIAGA KECIL
Selain isu pembangunan, beliau turut menyentuh mengenai nasib peniaga kecil dan penjaja yang sering terkesan dengan tindakan penguatkuasaan. Menurut beliau, golongan ini sering menghadapi tekanan daripada penguatkuasa terutama berkaitan lesen perniagaan, dan tindakan keras seperti merobohkan gerai boleh menjejaskan sumber rezeki mereka.
Razlan menekankan pentingnya pemimpin setempat dan persatuan peniaga memainkan peranan dalam menyantuni golongan peniaga kecil, bukannya sekadar menghukum. “Pendekatan yang lebih bijaksana dan berhemah perlu diterapkan bagi mencari penyelesaian yang adil dan lestari. Ibu kota adalah tempat untuk semua orang mencari rezeki,” katanya.
Beliau menggesa agar isu-isu berkaitan peniaga kecil diselesaikan secara berperingkat melalui perbincangan teliti. “Kita perlu menyelesaikan satu persatu dengan hikmah dan kebijaksanaan, tanpa menekan golongan yang mencari rezeki secara halal,” tegasnya.
Keutamaan Rakyat Dalam Pembangunan
Razlan yang juga Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri turut menyeru kerajaan agar memegang teguh peranan utama dalam memastikan pembangunan bandar raya seperti Kuala Lumpur terus sejahtera dan tidak menjadi eksklusif kepada golongan berada sahaja. Menurutnya, peranan kerajaan mesti dipertahankan bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
“Tanah ini lebih bernilai daripada sekadar wang ringgit; ia adalah ruang untuk menyediakan kehidupan selesa bagi semua lapisan masyarakat,” ujar beliau mengakhiri kenyataan.