Jangan Sebar ‘Virus’ – Pemimpin Kerajaan Perpaduan Diberitahu

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shabery Cheek menasihatkan setiap pihak dan parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan tidak menyerang sesama sendiri.

Beliau mengingatkan tindakan sama yang inilah dibuat oleh golongan yang sama seperti dalam Kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH), yang dipercayai akan memberi kesan kepada kerajaan.

“Virus yang menyerang kerajaan PH 22 bulan dulu ialah suka mengata sesama sendiri secara terbuka. Tak jumpa jalan saluran dalaman. Virus begini belum ditemui vaksin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shabery yang juga bekas menteri Barisan Nasional (BN) merujuk kepada kenyataan dua pemimpin daripada PKR dan DAP.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan BN dan UMNO yang terdiri daripada kelompok kes jenayah rasuah dan pecah amanah sebagai virus.

Beliau berkata, virus berkenaan sedang menjangkiti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR dan PH.

“Tiada vaksin untuk menawar racun toksid ini. Jalan kesudahannya mungkin maut dan mati,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy berkata, keputusan mengekalkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO dilihat menjadi ‘beban’ kepada parti itu dan PH.

Justeru itu, Shabery berkata, zaman mengkritik seperti itu sepatuitnya perbuatan pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) dan bukannya parti dalam gabungan kerajaan.

“Susah semua ni. Kena ada formula yang betul dan kena kerja kuat, kurang cakap. Bukan cari fasal dengan rakan-rakan yang sama-sama dalam kerajaan. Jambatan segera pakai besi.

“Banyak skru. Kalau tercabut, cepatlah runtuh. Nak buat yang konkrit makan masa,” katanya sinikal.

BBerkaitan

Latest articles