IPOH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan anggota serta pegawai pasukan keselamatan dan pertahanan agar tidak sesekali menyalahgunakan kedudukan mereka untuk tujuan menyalahi undang-undang.
Beliau menegaskan, integriti pasukan keselamatan mesti dipelihara kerana ia melibatkan maruah dan imej pertahanan negara.
“Penyalahgunaan kuasa perlu dihentikan segera. Saya harap apa yang berlaku baru-baru ini menjadi pengajaran mahal untuk semua pihak, termasuk penguat kuasa lain, supaya tidak terjebak dengan perbuatan serupa,” katanya.
Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Santunan Desa Jabatan Kemajuan Masyarakat Perak di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak, hari ini, lapor Bernama.
Rabu lalu, negara dikejutkan dengan penahanan 10 individu termasuk beberapa pegawai kanan tentera berusia antara 30 hingga 55 tahun serta seorang warga Indonesia dalam Op Sohor yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Skuad Taktikal Antirasuah.
Hasil risikan selama setahun itu membawa kepada rampasan wang tunai lebih RM63,000, bungkusan dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata tiruan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan, seorang daripada pegawai tentera yang ditahan dipercayai menjadi dalang utama aktiviti penyeludupan dadah.
Mengulas perkembangan itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, sebelum ini menegaskan bahawa ATM tidak akan berkompromi dan tidak melindungi mana-mana anggotanya yang terbabit dengan salah laku atau jenayah.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kes terbaru ini wajar menjadi peringatan keras kepada semua pihak beruniform.
“Jangan ada mana-mana pasukan penguat kuasa cuba mengambil kesempatan atau melakukan perkara yang boleh merosakkan imej organisasi. Apa yang penting, maruah dan integriti mesti dipertahankan,” tegasnya.