Jangan risau, semua depoh imigresen terasing, terkawal – KP Kesihatan

Orang ramai tidak perlu bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 yang dikesan di tiga Depoh Tahanan Imigresen (DTI) kerana DTI merupakan tempat yang terasing daripada masyarakat umum dan dikawal oleh pihak berkuasa, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus bekerjasama dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan agensi lain kerajaan bagi pengurusan kes Covid-19 yang melibatkan DTI.

Dr Noor Hisham berkata KKM telah mengesan sejumlah 112 kes di tiga DTI iaitu di Sepang, Bukit Jalil dan Semenyih daripada 172 kes baru yang dilaporkan hari ini.

“Secara keseluruhan setakat ini, didapati 227 kes positif daripada ketiga-tiga kluster DTI ini melibatkan bukan warganegara Malaysia iaitu 53 kes warga Bangladesh, India (41), Indonesia (38), Myanmar (37), Pakistan (28), China (17), Kemboja (4), Nepal (3), Sri Lanka (2) serta masing-masing satu dari Filipina, Libya, Mesir dan Syria.

“Pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan telah pun dijalankan misalnya aktiviti nyah kuman, pendidikan kesihatan seperti penjagaan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta penekanan mengenai penjarakan sosial,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat satu kluster baru yang telah dikesan di DTI Sepang dan setakat hari ini, sebanyak 1,449 sampel telah diambil dengan 36 kes positif dikesan (29 kes dilaporkan hari ini), 540 kes negatif dan 873 sampel masih menunggu keputusan.

Sementara itu, bagi kluster DTI Bukit Jalil, sebanyak 1,536 sampel telah diambil daripada 1,422 Orang Kena Tahan (OKT) serta 114 kakitangan dan daripada jumlah tersebut, 126 kes adalah positif, 514 negatif dan 896 sampel masih menunggu keputusan.

Bagi kluster DTI Semenyih, sebanyak 1,757 sampel telah diambil daripada 1,630 OKT serta 127 kakitangan dan daripada jumlah tersebut, 66 kes adalah positif, 753 kes negatif dan 938 sampel masih menunggu keputusan.

Dr Noor Hisham berkata bagi memastikan kes jangkitan Covid-19 dapat dikesan sepenuhnya, KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah akan meneruskan tindakan seterusnya iaitu menggunakan pendekatan tertumpu.

“Misalnya siasatan, pengesanan kontak rapat, penilaian risiko oleh pihak yang berkaitan; saringan gejala dan persampelan untuk mengesan kes secara aktif; kes positif akan diisolasi dan dirawat di hospital manakala kontak rapat akan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Bagi Kontak Covid-19 di bawah Seksyen 15(1) Akta 342,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata seorang petugas pentadbiran di DTI Semenyih telah disahkan positif dan pihaknya akan menjalankan saringan terhadap ahli keluarga petugas itu selain pengesanan kontak.

Beliau berkata pegawai dan petugas di ketiga-tiga depoh telah dikuarantin dan digantikan dengan petugas baru.

Menurutnya, KKM telah menjalankan saringan ke atas semua OKT, petugas serta pegawai dan siasatan mengenai punca jangkitan itu masih dalam siasatan.

“Nyah cemar telah dijalankan… saringan dan penyiasatan juga masih dijalankan… ada kemungkinan jangkitan disebabkan ruang yang sempit,” katanya.

– Bernama

BBerkaitan

Latest articles