KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras bahawa tiada mana-mana pihak boleh sesuka hati mendirikan rumah ibadat tanpa kelulusan sah daripada pihak berkuasa.
Beliau menegaskan, soal pembinaan rumah ibadat bukan isu sentimen agama, sebaliknya tertakluk kepada peraturan tanah, faktor keselamatan serta undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Buatlah kuil banyak mana pun, tetapi ikut peraturan. Tak boleh pacak kuil berhala di mana-mana tempat sesuka hati. Ada yang jawab kata, ‘Oh surau di mana-mana boleh buat’. Tak betul,” tegas beliau ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta program Ihya Ramadan, hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Datuk Seri Nasution Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Perdana Menteri turut menepis dakwaan kononnya kerajaan bersikap berat sebelah terhadap agama tertentu dalam isu penguatkuasaan.
Menurutnya, tindakan merobohkan struktur tanpa kelulusan bukan perkara baharu dan pernah melibatkan surau di beberapa negeri.
“Surau di Selangor pernah dirobohkan, surau di Perak juga pernah dirobohkan kerana tidak ikut peraturan. Jadi isu ini jangan dipolitikkan,” katanya.
Beliau menekankan bahawa Malaysia berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang.
Sebarang pertikaian, katanya, mesti diselesaikan melalui saluran sah termasuk mahkamah, bukannya dengan memburukkan institusi atau menghukum sebelum siasatan lengkap dijalankan.
“Kalau kita terus begini, negara takkan aman dan kita tak boleh tumpu kepada soal membangunkan negara,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Anwar menjelaskan aktiviti dakwah tidak pernah dihalang kerajaan.
Namun, ia tetap perlu mematuhi Perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kalau orang nak buat dakwah, nak kembangkan pengajaran, ikut peraturan. Buatlah. Kita tidak sekat sama sekali. Tetapi mesti ikut undang-undang,” katanya.
Kenyataan itu hadir susulan kontroversi melibatkan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang mempersoalkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merampas khemah milik pertubuhan Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Jalan Bukit Bintang.
Menurut Firdaus menerusi hantaran di Facebook, DBKL memberi alasan khemah tersebut menghalang laluan awam.
Bagaimanapun, DBKL dalam kenyataan balas menjelaskan tindakan penguatkuasaan di hadapan Bangunan Yayasan Selangor itu dibuat mengikut peruntukan undang-undang selepas pihaknya menunggu wakil MRM lebih 30 minit di lokasi sebelum mengambil tindakan.










