KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini mengeluarkan amaran kepada orang awam supaya tidak berkongsi atau menyiarkan sebarang eksibit atau barang kes yang dikemukakan dalam inkues kematian pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir, menerusi media sosial.
Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan menyampaikan peringatan itu selepas menerima aduan berkenaan hal itu, sambil menegaskan bahawa tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai menghina mahkamah.
“Saya menerima aduan bahawa terdapat beberapa eksibit yang telah dibocorkan dan saya ingin mengingatkan semua pihak supaya tidak berkongsi perkara ini dengan sewenang-wenangnya. Pihak berkuasa boleh mengambil tindakan berhubung dengan perkara ini,” katanya.
Prosiding siasatan kematian remaja itu memasuki hari ketiga hari ini dengan mahkamah mendengar keterangan Nurul Atiqah Mohd Noh, 44, seorang pemeriksa dokumen di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Selangor.
Terdahulu, Nurut Atiqah memberikan keterangan pihaknya menerima 21 beg mengandungi empat buku nota, dua buku teks dan 15 keping kertas yang semuanya dikenal pasti sebagai milik si mati.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai. Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum setelah ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Pejabat Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis.
Pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. – BERNAMA