Jangan Kerana Cuti Dua Hari, Hilang Kemakmuran Berpanjangan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat supaya tidak mudah tertipu dengan tawaran dua hari cuti oleh Perikatan Nasional (PN) sekiranya gabungan parti itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad Zahid berkata, jangan kerana mahukan cuti dua hari kita hilang kestabilan dan kemakmuran yang berpanjangan.

“Dulu pernah dapat cuti dua hari daripada PH selepas PRU14, kesudahannya sebahagian rakyat dapat `cuti panjang’ disebabkan hilang pendapatan atau pekerjaan.

“Jadikan pengalaman kerosakan sosioekonomi lalu sebagai ikhtibar apabila dihidangkan sekali lagi dengan tawaran yang sama oleh lawan BN.

“Usah gadai masa depan negara hanya kerana terpesona dengan cuti singkat 48 jam berbanding musibah terpaksa ditempuhi untuk tempoh yang lama,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Ujar Ahmad Zahid, tawaran yang diberikan BN iaitu cuti pada hari lahir lebih bersfiat komprehensif dan berkesan.

“Berbanding tawaran BN cuti bergaji pada hari lahir bersifat komprehensif dan berkesan dalam menjaga kebajikan serta mengiktiraf sumbangan golongan pekerja,” ujarnya.

Pada 7 November lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pengumuman manifesto PN berkata, PN akan akan mengisytihar cuti umum pada Ahad, 20 November, bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, dan hari Isnin, 21 November, bagi negeri-negeri lain.

Katanya, cuti itu adalah tawaran tambahan itu bagi membolehkan pengundi luar kawasan pulang ke tempat bermastautin tanpa perlu memohon cuti pada hari Ahad atau Isnin.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menambah, BN adalah satu-satunya gabungan yang mampu menjanjikan kestabilan dan kemakmuran negara.

“InsyaAllah satu-satunya yang dapat memastikan kestabilan dan pengukuhan itu dengan mengembalikan kerajaan BN yang mutlak dan dominan pada 19 November ini,” tambah Ahmad Zahid.

 

 

BBerkaitan

Latest articles