Jangan Jadikan Sabitan Najib Modal Politik Hingga Keyakinan Terhadap Badan Kehakiman Terhakis

KUALA LUMPUR: Ahli politik, pempengaruh media sosial dan pemimpin masyarakat diingatkan supaya tidak mengeksploitasi keputusan mahkamah membabitkan Datuk Seri Najib Razak sebagai bahan politik yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berkata, sebarang usaha memanipulasi sabitan jenayah bekas Perdana Menteri itu, termasuk menabur keraguan terhadap integriti hakim atau menggambarkannya sebagai agenda politik pihak tertentu, adalah tindakan tidak bertanggungjawab serta berbahaya.

Menurut beliau, langkah sedemikian bukan sahaja berpotensi mengelirukan masyarakat, malah mampu menghakis keyakinan awam terhadap institusi kehakiman yang menjadi tunjang kedaulatan undang-undang negara.

“Segala cubaan membingkai keputusan mahkamah sebagai konspirasi politik atau meniup sentimen kebencian terhadap badan kehakiman perlu ditolak sepenuhnya,” katanya yang lebih dikenali sebagai Altimet dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan denda berjumlah RM11.387 bilion terhadap Najib selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengulas lanjut, Syed Ahmad menyeru orang ramai agar memberi ruang kepada mahkamah untuk melaksanakan tanggungjawabnya tanpa tekanan, selain menghormati keputusan yang dibuat mengikut lunas undang-undang serta mempertahankan kebebasan badan kehakiman.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa proses perundangan masih berjalan dan Najib berhak menggunakan saluran undang-undang yang tersedia, termasuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan, yang dijadualkan difailkan pada Isnin.

BBerkaitan

Latest articles