Jangan Jadikan Miskin Alasan Tolak MRSM, MARA Sedia Hulur Bantuan

KUALA LUMPUR: Ibu bapa dan pelajar yang menerima tawaran ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) digesa supaya tidak menolak peluang berkenaan hanya disebabkan kekangan kewangan, sebaliknya tampil mendapatkan bantuan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan agensi itu komited membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, termasuk melalui inisiatif Bantuan Khas BUDI MARA yang diwujudkan khusus bagi meringankan beban kewangan pelajar B40.

“Jangan sesekali tolak tawaran MRSM hanya kerana faktor kemiskinan. Saya sudah mengarahkan pengurusan MARA dan MRSM supaya membantu pelajar yang memerlukan. Bantuan Khas BUDI MARA memang disediakan untuk tujuan ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mendedahkan perkara itu susulan menerima panggilan mengenai sebuah keluarga kurang berkemampuan di Pasir Mas, Kelantan, yang teragak-agak menerima tawaran MRSM buat anak mereka kerana masalah kewangan.

Menurut Asyraf Wajdi, bapa pelajar berkenaan tidak lagi bekerja selepas terlibat dalam kemalangan, manakala ibunya hanya seorang suri rumah yang menetap di kawasan pedalaman.

Pelajar itu pula mempunyai empat adik-beradik dan baru menerima tawaran ke MRSM Jeli, namun keluarga berkenaan bimbang tidak mampu menanggung kos awal dan perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian.

Susulan itu, beliau segera menghubungi Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hariri, bagi membantu menampung perbelanjaan awal pelajar terbabit, selain memberi jaminan bahawa MARA akan terus membantu keperluan seterusnya.

“Insyallah, soal perbelanjaan awal kita bantu dahulu, dan selebihnya MARA akan ambil tanggungjawab,” katanya.

Untuk rekod, BUDI MARA merupakan inisiatif keprihatinan MARA di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang memberi bantuan persekolahan menyeluruh kepada pelajar daripada keluarga B40, bagi memastikan mereka mendapat akses pendidikan berkualiti di MRSM.

Program itu selaras dengan dasar pengambilan MRSM yang menetapkan sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar datang daripada latar belakang keluarga B40, selain penilaian berdasarkan status sosioekonomi dan kecemerlangan akademik melalui sistem merit.

Melalui BUDI MARA, pelajar layak menerima bantuan wang tunai sebanyak RM1,100 yang meliputi yuran persekolahan, pembelian pakaian sekolah dan harian, keperluan asrama, peralatan pembelajaran, tambang perjalanan pulang semasa cuti semester, yuran dobi, pakaian sukan serta keperluan peribadi lain.

BBerkaitan

Latest articles