Jangan Jadi Jaguh, Tangani Secara Baik Isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan pihak luar, termasuk individu yang didakwa sebagai “penunggang agama” dan peguam, agar tidak menjadi jaguh dalam isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India.

Menurut beliau, rundingan sedang berlangsung bagi mencari penyelesaian terbaik, dan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian kaum perlu dielakkan.

“Masalahnya ada segelintir pihak, termasuk peguam yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti agama Hindu, tiba-tiba tampil membuat kenyataan seolah-olah kuil itu akan dirobohkan.

“Saya tidak boleh bayangkan sebagai Perdana Menteri, saya akan merobohkan mana-mana kuil atau rumah ibadat agama lain. Rundingan ini bukan perkara baharu, ia sudah berlangsung selama bertahun-tahun,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA.

Anwar menegaskan, penyelesaian terbaik perlu dicari bagi memastikan tapak yang sah dan diiktiraf untuk kuil tersebut.

“Saya harap isu ini tidak diperbesar-besarkan. Kita perlu tangani dengan baik, tanpa respons yang tidak wajar daripada mana-mana pihak, termasuk masyarakat Islam,” katanya lagi.

Beliau juga menekankan bahawa masjid tetap akan dibina, dan tapak baharu akan disediakan untuk kuil tersebut dengan bantuan pihak yang berkaitan.

“Tanah itu bukan tanah kerajaan. Walaupun asalnya milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), ia kini tanah persendirian. Jadi, ia tidak boleh digunakan tanpa kelulusan,” jelas Anwar.

Sebelum ini, bekas Presiden Badan Peguam Malaysia, S Ambiga, dan kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) mengadakan sidang media mengenai dakwaan perobohan kuil bersejarah itu bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid.

Peguam jawatankuasa kuil, N. Surendran, mencadangkan DBKL terlibat lebih banyak dalam isu ini, namun pihak berkuasa tempatan itu menegaskan bahawa tanah tersebut adalah milik persendirian.

DBKL sebelum ini memberi jaminan bahawa tiada sebarang aktiviti perobohan akan dilakukan, dan pemindahan kuil itu akan dilaksanakan secara telus dan adil melalui perbincangan dengan pihak berkepentingan.

BBerkaitan

Latest articles