‘Jangan Ikut Marah, Tapi Ikut Strategi’ – Tok Mat Tegur UMNO Secara Terbuka

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi amaran kepada ahli dan pimpinan parti supaya tidak terperangkap dalam politik emosi, sebaliknya berfikir dengan waras antara perjuangan dan pemusnahan, antara keberanian dan kebodohan.

Beliau menegaskan, UMNO bukan parti yang diwujudkan untuk menjatuhkan sesiapa secara membuta tuli, tetapi dibina untuk mentadbir dengan akal, menstabilkan negara dengan strategi dan memikul tanggungjawab kepada rakyat.

“Marah mesti ada strategi. Berani mesti ada tanggungjawab. Jangan ikut emosi sampai sanggup keluar kerajaan dan biar negara jadi huru-hara. Itu bukan kerja negarawan,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Menurutnya, peranan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah sebagai kuasa pengimbang yang bertanggungjawab, bukan pencetus kekacauan.

Teguran dialu-alukan, tetapi mestilah munasabah dan membina, bukan lahir daripada dendam politik.

Mohamad mengingatkan, apabila perbezaan politik dibiarkan tanpa kebijaksanaan, kerajaan boleh runtuh tanpa hala tuju, mewujudkan kekosongan kuasa yang akhirnya memusnahkan ekonomi dan menyengsarakan rakyat.

“Kita sudah lihat di negara lain – parlimen jadi medan tempur, pelabur lari, ekonomi runtuh. Akhirnya rakyat yang menderita,” tegasnya.

Beliau menolak idea keluar-masuk pakatan sebagai jalan singkat untuk memulihkan UMNO, sambil menyifatkannya sekadar mengalih fokus tanpa menyelesaikan masalah sebenar parti.

Mohamad turut menegaskan kehadiran UMNO dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan adalah untuk menjamin kestabilan negara, dengan menyamakan parti itu sebagai ‘sauh’ yang memastikan kapal Malaysia tidak karam.

Katanya, selepas PRU15, UMNO sebenarnya bersedia menjadi pembangkang, namun atas titah Yang di-Pertuan Agong dan demi menyelamatkan negara ketika Parlimen tergantung, UMNO memilih masuk kerajaan.

“Kita masuk kabinet bukan untuk kepentingan parti, tapi untuk kestabilan negara. Kita adalah sauh yang menahan kapal ini daripada karam dan kita tak perlu minta maaf kepada sesiapa,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles