Jangan Hukum Semua Dalam ATM, Tegas Anwar

KUALA LUMPUR: Isu salah laku yang melibatkan beberapa individu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencalar imej keseluruhan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan warga Kementerian Pertahanan, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, krisis yang tercetus baru-baru ini bukan sahaja mengejutkan negara, malah turut menarik perhatian dunia.

Namun, katanya, walaupun Malaysia masih berdepan masalah seperti rasuah dan penyelewengan dana, ia tidak boleh dianggap sebagai gambaran sebenar terhadap semua institusi dan anggota yang menjalankan amanah.

Ketika berucap pada Majlis Peluncuran Industri Pertahanan Negara (DIPN) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Anwar menegaskan bahawa kes yang berlaku hanya melibatkan individu tertentu dan tidak wajar digeneralisasikan.

“Jangan kita ambil perbuatan beberapa orang untuk menilai ribuan yang berkhidmat dengan penuh tanggungjawab,” katanya. Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut beliau, walaupun terdapat pihak yang kini disiasat, integriti dan komitmen anggota di semua peringkat tidak boleh dipersoalkan.

“Amanah mereka besar. Tidak adil jika jasa dan pengorbanan mereka dinafikan hanya kerana kesalahan segelintir pihak,” katanya.

Anwar turut menzahirkan kebimbangan jika kemelut yang berlaku menutup sumbangan besar warga pertahanan yang selama ini berkhidmat dengan disiplin tinggi dan semangat juang yang kuat.

Mengulas prestasi negara, beliau berkata Malaysia kini berada dalam keadaan yang stabil dan aman, sebahagiannya hasil peranan pasukan keselamatan.

Katanya, kedudukan strategik negara di laluan penting seperti Selat Melaka, Laut China Selatan dan Lautan Hindi menjadikan aspek pertahanan sebagai keutamaan utama.

“Keamanan yang dinikmati hari ini lahir daripada dasar luar yang seimbang serta kesiapsiagaan berterusan pasukan keselamatan.

“Dalam apa jua keadaan, angkatan bersenjata kekal sebagai tulang belakang keselamatan dan kestabilan negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles