KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kontroversi membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, perlu disiasat berlandaskan undang-undang dan bukan didorong sentimen, persepsi atau tekanan politik.
Menurut beliau, adalah tidak adil untuk terus menjatuhkan hukuman terhadap mana-mana penjawat awam tanpa melalui siasatan menyeluruh dan telus.
“Siasat dahulu. Kalau perlu tindakan, kita ambil tindakan. Kalau perlu hukuman, ikut hukum,” tegasnya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta timbalannya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Anwar mengingatkan masyarakat agar tidak menghukum individu atau institusi hanya kerana rasa tidak senang, sentimen politik atau kepentingan kelompok tertentu.
“Jangan kita hukum kerana kebetulan orang itu kita tidak senangi atau kerana dorongan politik. Kita harus teliti dan ikut lunas undang-undang,” katanya.
Beliau menegaskan, sebarang aduan perlu dibawa melalui saluran sah termasuk mahkamah, selaras prinsip kedaulatan undang-undang.
Kontroversi tercetus susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam dalam sidang media sebelum ini menjelaskan pegangan saham bernilai kira-kira RM800,000 itu dibuat secara telus dan mematuhi prosedur ditetapkan.
Bagi memastikan siasatan berjalan bebas dan berintegriti, kerajaan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Siasatan yang diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Jawatankuasa itu diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, serta turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan siasatan sudah pun bermula.










