Jangan Ganggu Urusan Agama Islam, Dr Akmal Balas DAP

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang hendak mencampuri urusan agama Islam.

Ketuanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh turut mengulangi amaran kepada Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong bahawa Pemuda UMNO memegang kukuh prinsip parti untuk menjaga agama, bangsa dan tanah air, bukan hanya berpolitik secara semberono.

“Apabila kamu campur urusan agama kami, maka menjadi tanggungjawab kami orang Melayu Islam mempertahankannya. Bagi kami agama dan bangsa melebihi parti politik.

“Sekali lagi amaran kami berikan amaran kepada kamu, agama adalah urusan kami, bukan urusan kamu. Selama ini kami tidak pernah sentuh urusan agama kamu,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebooknya.

Lebih sinis, Dr. Akmal turut mengingatkan bahawa Kah Leong mungkin akan kekal sebagai pembangkang untuk selama-lamanya jika terus mengganggu gugat dan mencampuri urusan agama Islam dan bangsa Melayu.

Terdahulu Kah Leong dalam kenyataan mengingatkan Dr. Akmal supaya tidak bersikap lebih daripada Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) sendiri, selain menggesanya berhenti daripada meneruskan polemik berhubung garis panduan masyarakat Muslim menghadiri majlis perayaan bukan Islam.

Kritikan itu muncul susulan keputusan Jemaah Menteri semalam untuk tidak meneruskan Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Perayaan dan Kunjungan Ke Rumah Ibadat Selain Islam di negara ini.

BBerkaitan

Latest articles