Kerajaan diingatkan untuk tidak sewenang-wenangnya memberikan taraf kewarganegaraan, termasuk terhadap anak-anak yang tidak mempunyai kad pengenalan, demikian menurut bekas menteri luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Malah beliau juga mahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil pengajaran daripada kegagalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mahu melaksanakan Pas Sementara Sabah (PSS) yang akhirnya menyebabkan mereka kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis kerana penolakan rakyat atas rancangan tersebut.
Untuk rekod, kerajaan bakal menjadikan Pas IMM13 sebagai satu-satunya dokumen perjalanan tunggal yang sah bagi warga asing dari Filipina di Sabah.
Sehubungan itu penyelarasan terhadap lebih 136,000 pemegang pelbagai kad pendaftaran warga asing seperti Kad Burong-Burong, Sijil Banci, HIF22 dan IMM13 akan dilakukan.
“Isu kewarganegaraan adalah isu sensitif di negeri Sabah, awal Januari lalu terdapat usaha Kerajaan Negeri pimpinan Warisan PH dan UPKO untuk mewujudkan dokumen baru iaitu Pas Sementara Sabah (PSS) kepada 136,055 pemegang dokumen itu, iaitu IMM13 (51,645), Kad Burung-Burung (36,892) dan Sijil banci sebanyak 47,518.
“Kesannya isu PSS menyebabkan parti pemerintah Warisan tewas dalam PRK Kimanis apabila rakyat menolak cadangan itu.
“Idea menggunakan dokumen IMM13 sebagai dokumen tunggal untuk pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil banci adalah langkah yang tiada bezanya dengan PSS.
“Apa perlunya mengiktiraf pemegang Kad Burong-Burong dan Sijil banci ke dalam IMM13? Kerajaan tidak boleh ‘menghalalkan’ pemegang Sijil Banci dan Kad Burung-Burung untuk menerima IMM13, yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Sekalipun kerajaan digesa mempertimbangkannya atas faktor kemanusiaan dalam isu ‘stateless children’ kerajaan tidak boleh menggadai nasib rakyat Sabah tulen,” demikian menurut Anifah dalam satu kenyataan medianya, hari ini.
Reaksi bekas Ahli Parlimen Kimanis itu menyusul selepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan kerajaan tidak akan memberi kewarganegaraan secara mudah kepada warga asing, meskipun kelahiran baru dari golongan itu terjadi di Malaysia.
Ujarnya selaras dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, Peraturan Kewarganegaraan Malaysia 1964 dan perundangan berkaitan, maka kewarganegaraan seseorang ditentukan oleh status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu dan bapa kandung semasa kelahiran berlaku.