Jangan Gadai Keselamatan Makanan, Usah Ulang Kesilapan Serupa

Rakyat kini menanti siapakah ahli-ahli Parlimen yang akan menyertai pasukan kabinet Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam jangka masa terdekat ini dan apakah perubahan-perubahan polisi di dalam pentadbiran kerajaan yang akan diperkenalkan.

Kenaikan kos sara hidup yang begitu ditekankan di dalam tempoh seminggu semenjak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri sehingga bermesyuarat walaupun di hari minggu serta cuti am, haruslah bergerak seiring dengan tindakan walaupun Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) diberi tempoh dua minggu untuk mencerakin dan menelusuri implikasi berkaitan subsidi dan harga barangan.

Melihat senario semasa, contohnya isu penawaran telur ayam di dalam pasaran, menyaksikan isu ini tidak berjaya diatasi berbulan lamanya walaupun pelbagai amaran dan jangkaan daripada penganalis mahupun pemain industri telahpun dilaporkan media.

Apa yang rakyat dengar, adalah peningkatan kadar subsidi telur ayam di peringkat ladang berubah daripada 8 sen sebiji kepada 10 sen sebiji supaya harga kawalan runcit kekal bagi telur gred A, B, dan C pada nov 2022, tanpa mereka tahu sudah 21 ladang ayam penelur terpaksa menutup operasi mereka kerana tidak tahan lagi dengan bebanan hutang serta kesukaran mendapatkan tenaga kerja ekoran wabak covid-19 yang melanda dunia tempoh hari. .

Untuk rekod, secara purata negara memerlukan antara 30 hingga 31 juta biji telur sehari yang dikeluarkan oleh 1,500 penternak seluruh negara.

Sebuah ladang kecil boleh menghasilkan sehingga 300,000 telur sehari, ladang bersaiz sederhana boleh menghasilkan antara 500,000 dan 800,000 telur sehari manakala ladang besar boleh mengeluarkan tiga hingga empat juta telur setiap hari.

Manakala Kerajaan menetapkan harga siling telur ayam Gred A pada 45 sen sebiji, Gred B (43 sen) dan Gred C (41 sen) sejak 1 Julai lalu. Ini adalah tempoh yang paling lama kerajaan menguatkuasakan skim kawalan harga maksimum yang biasanya hanya digunapakai ketika musim perayaan dan sehingga kini, tidak ada tanda untuk kerajaan kembali kepada sistem pasaran terbuka ataupun bebas

Di dalam sebuah ekonomi pasaran bebas, sebenarnya, peranan kerajaan hanyalah sebagai pemantau bagi memastikan pasaran yang cekap wujud.

Kegiatan pencatutan dan pengambilan untung berlebihan perlu menjadi tunggak utama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Kementerian perlu sepanjang masa menyelidik dan menyiasat perjalanan pasaran bagi memastikan bukan sahaja harganya sesuai, tetapi lebih penting, memastikan rakyat mendapat bekalan makanan yang sesuai.

KERUGIAN DARI SETIAP TELUR YANG TERHASIL

memetik laporan portal Malaysia Insight September lalu, Timbalan Presiden Persekutuan Penternak Malaysia Lee Yoon Yeau berkata pengeluar telur ayam mengalami kerugian setiap bulan.

Bagi setiap telur yang kami hasilkan, kami rugi enam sen. Jika kita mengeluarkan tiga juta telur, kerugian ditanggung adalah RM180,000 sehari, atau RM2 juta sebulan dan RM50 juta setahun. Apa yang perlu kami buat untuk mengimbangi kerugian?,” soal Lee.

Lee berkata pembekal hanya menerima transaksi tunai, pada masa yang sama, pembayaran subsidi oleh kerajaan juga agak lewat diterima pengusaha-pengusaha ini.

Dalam pada itu, Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Negeri Johor baru-baru ini juga menafikan dakwaan kononnya kekurangan telur ayam di pasaran disebabkan tindakan sabotaj penternak yang mahukan harga bahan mentah itu dinaikkan.

Setiausahanya, Lau Ka Leng, berkata tuduhan itu amat tidak berasas apatah lagi tindakan sabotaj termasuk menyimpan telur di gudang, hanya merugikan penternak.

Katanya, tuduhan yang menyatakan pemborong mengutamakan pasaran Singapura juga tidak benar kerana isu kekurangan telur di pasaran kerana berlaku kekurangan ayam penelur di seluruh negara.

“Penternak ayam sebenarnya menghadapi isu kekurangan ayam penelur sejak beberapa bulan lalu berikutan gabungan faktor isu kekurangan ayam, harga dedak yang terlalu tinggi serta penyakit.

Dalam pada itu, Ka Leng menyifatkan tuduhan menyatakan kekurangan telur di pasaran adalah tindakan terancang penternak yang mahukan menaikkan harga bahan mentah itu juga adalah tuduhan yang melampau.

“Mana ada kita rancang dan simpan telur. Jangka hayat telur tidak lama, kalau disimpan akan rosak dan hanya rugikan kami.

“Berbanding ayam segar boleh disejuk beku, telur jika disimpan dalam peti sejuk lebih seminggu pun akan rosak,” katanya.

KEGAGALAN JAWATANKUASA JIHAD

Perbincangan dan sumbangsaran di antara pemain industri serta badan yang mengawal selia harga dan bekalan di pasaran adalah kunci utama untuk mendapatkan situasi menang-menang di antara pengusaha dan juga pengguna.

Dapat dilihat sebelum ini, perbincangan dan sumbangsaran berjaya dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan juga Kementerian KPDNHEP bersama penternak dan pemain industri.

Sehinggalah Kerajaan melalui Kabinet bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Jihad yang dipengerusikan oleh Bekas Ahli Parlimen Ketereh yang pada ketika itu juga Menteri Komunikasi untuk mempengerusikan majlis dan memberikan kenyataan media setiap minggu.

Dilihat tidak ada kerjasama yang baik di Peringkat Menteri kerana tugas yang sebelum ini dimainkan mereka, diambil oleh orang lain yang tidak diketuai apakah kepakaran mereka di dalam industri ini.

Jarang sekali melihat kedua-dua Menteri berkenaan hadir di dalam mesyuarat tersebut kecuali mewakilkan Timbalan Menteri ataupun Ketua Setiausaha Kementerian dan tidak pernah masyarakat didedahkan apakah mesyuarat tersebut turut memanggil wakil industri untuk memberikan input mereka.

Sekiranya jawatankuasa itu berjaya, masalah yang kini dihadapi oleh pengguna mengenai bekalan telur tidak mungkin akan menjadi separah ini.

Justeru Kerajaan haruslah bertindak untuk menyelesaikan masalah dengan segera kerana tempoh untuk anak ayam mula boleh mengeluarkan hasil pertama telur adalah selama 7 bulan manakala 40 hari bagi ayam pedaging.

Manakala masyarakat di Malaysia akan meraikan pelbagai perayaan seperti Sambutan Tahun baru cina, Bulan Ramadan dan seterusnya hari raya serta cuti penggal persekolahan pada suku pertama tahun 2023.

Jadi usahlah untuk mengejar populariti, akhirnya jaminan keselamatan makanan di Malaysia tergadai serta akhirnya membunuh satu industri yang begitu mapan di Malaysia.

Pengarang
TheRakyatInsight

BBerkaitan

Latest articles