Jangan Fitnah Isu Air, Tiada Pusat Data di Simpang Renggam, Benut – MB Johor

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menempelak kenyataan Pemuda Pakatan Harapan Johor yang cuba mengaitkan gangguan bekalan air di Simpang Renggam dan Benut dengan pembangunan pusat data di negeri itu.

Beliau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai bermotifkan politik dan langsung tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, fakta paling asas sudah cukup untuk menafikan tuduhan berkenaan bahawa tiada satu pun pusat data terletak di Simpang Renggam mahupun Benut.

Onn Hafiz menjelaskan, gangguan bekalan air yang berlaku sebelum ini berpunca daripada kemarau berpanjangan sehingga menyebabkan penyusutan paras sumber air mentah, bukannya disebabkan projek pusat data seperti yang cuba digambarkan pihak tertentu.

Malah, keadaan kemarau itu turut melanda beberapa negeri lain sebagaimana dilaporkan media sebelum ini.

Beliau menegaskan, cubaan mengaitkan isu bekalan air dengan pelaburan strategik negeri hanya akan menimbulkan kekeliruan dan ketakutan dalam kalangan rakyat.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap memaklumkan, Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam merupakan loji utama yang membekalkan air terawat ke sebahagian kawasan di daerah Kluang dan Pontian Utara.

Antara kawasan terlibat termasuk:
• Simpang Renggam
• Jalan Benut
• Jalan Renggam
• Seluruh kawasan Machap
• Tampok
• Benut
• Api-Api

Tegas beliau, dalam kawasan agihan LRA Simpang Renggam langsung tidak terdapat sebarang pusat data.

Pusat data terdekat pula berada di kawasan Perindustrian Sedenak dan menerima bekalan daripada LRA Semangar yang sumber air mentahnya diambil dari Sungai Johor dan bukannya Empangan Machap.

“Fakta ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Onn Hafiz mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan isu keperluan asas rakyat sebagai modal politik.

Sebagai kerajaan yang mentadbir, katanya, keutamaan adalah memastikan kestabilan, ketelusan maklumat dan tindakan penyelesaian yang konkrit, bukannya menangguk di air keruh.

Beliau turut menyeru agar semua kenyataan yang dikeluarkan mengambil kira kepentingan rakyat serta pelaburan strategik negeri.

Perkembangan positif turut diumumkan apabila Bekalan Air Berjadual (BAB) yang dilaksanakan sejak 7 Februari 2026 di Simpang Renggam dan Benut kini ditamatkan sepenuhnya.

Pelaksanaan sebelum ini melibatkan penjadualan 48 jam tanpa bekalan air mengikut zon.

Keputusan menamatkan BAB dibuat selepas paras air Empangan Machap menunjukkan peningkatan dan loji rawatan air kembali beroperasi secara optimum hasil pemantauan rapi.

Kini, semua kediaman di kawasan terlibat menerima bekalan air seperti biasa.

Onn Hafiz menegaskan, hak rakyat untuk mendapatkan bekalan air bersih sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri dan tidak akan sesekali dipolitikkan.

BBerkaitan

Latest articles